PAS Tidak Perlu Takut Pada Bayang-Bayang Sendiri

Jika PAS masih mengekalkan lafaz talak tiga dalam baiahnya, itu menunjukkan parti Islam itu masih ragu dengan ahlinya, kata penganalisis politik.

Dr. Rusdi Omar tidak menolak tujuan baik PAS untuk mengikat wakil rakyatnya dengan cara baiah, namun mereka perlu bertindak matang dalam berpolitik.

Justeru katanya, sudah tiba masanya parti Islam itu mengkaji semula penggunaan taklik talak tiga terhadap calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

“Tidak perlu takut bayang-bayang sendiri. Jika PAS masih mahu kekalkan taklik talak tiga kali ini maka secara jelasnya mereka belum percaya pada istiqomah ahli-ahli partinya,” katanya.

Majlis Syura Ulama PAS memuktamadkan lafaz baiah diperlukan kepada semua calon wakil rakyat yang bertanding pada PRU14.

Mengulas lanjut Rusdi berkata, amalan tersebut sudah tidak relevan  selain hanya menakut-nakutkan calon wakil rakyat terbabit.

“Konsep ini agak ketinggalan zaman dalam  dunia yang serba canggih ini dan kita tak perlu untuk menakut-nakutkan calon wakil rakyat berkenaan. Cerai talak tiga ini mengarut,” katanya. – 28 Februari 2018.