Pembangkang Hipokrit Soal Kerjasama Dengan China

Pakatan Harapan yang diketuai DAP disifatkan sebagai hipokrit dalam melemparkan tuduhan mengenai hubungan strategik antara Malaysia dan China meskipun mereka menyedari mengenai kepentingan kerjasama tersebut.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata, pembangkang cuba mengelirukan rakyat dengan menuduh kedaulatan negara tergugat ekoran daripada hubungan dua hala berkenaan namun pada masa sama Pulau Pinang dan Selangor juga menjalinkan kerjasama perdagangan.

“Semua ini adalah bahan politik pembangkang. Kalau betul menjadi isu kenapa Pulau Pinang dan Selangor mempunyai delegasi untuk pergi ke China dalam usaha mempertingkatkan perdagangan dan pelaburan dengan negara itu.

“Saya percaya jika Malaysia tidak mempunyai hubungan dengan China, pembangkang akan menukar cerita pula kononnya Malaysia kurang keyakinan dan disebabkan itu China tidak mahu bekerjasama dalam soal perdagangan dengan kita. Itulah sikap pembangkang,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan membenarkan sebarang percubaan merosakkan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China.

Malah kata Najib, tindakan pembangkang itu hanya bertujuan untuk menyemai kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional (BN). – 28 Februari 2018.