Pakatan Harapan Tidak Ada Identiti

Pakatan Harapan disifatkan tiada identiti yang tersendiri jika menggunakan logo atau simbol DAP apabila bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man berkata, sekiranya berlaku, ia jelas menunjukkan bahawa parti-parti di bawah Pakatan Harapan diketuai DAP itu tiada hala tuju dan matlamat perjuangan.

Pada masa sama kata beliau, Pakatan Harapan perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menggunakan logo atau simbol parti pakatan tersebut.

“Ini bergantung kelulusan ROS, mereka (Pakatan Harapan) harus mendapatkan kelulusan pendaftaran yang sah. Kalau menggunakan satu lambang tanpa kelulusan, ia adalah bercanggah dengan undang-undang.

“Kalau hendak bertanding di bawah DAP (menggunakan lambang DAP) tiada masalah tetapi ini menunjukkan bahawa parti-parti (di bawah Pakatan Harapan) tiada identitinya sendiri dan perjuangan mereka boleh dipersoalkan,” katanya.

Azlan diminta mengulas kemungkinan Pakatan Harapan untuk menggunakan logo atau simbol DAP apabila bertanding pada PRU14 selepas pakatan tersebut memutuskan untuk menggunakan hanya satu logo atau simbol. – 3 Mac 2018.