Akal Cetek Perlekeh Peranan Rela

Kerajaan tidak akan membiarkan peranan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) diperlekeh atau diperkecilkan oleh mana-mana pihak khususnya pembangkang.

Ahli Majlis Tertinggin UMNO, Datuk Seri Azlan Man berkata, Rela adalah salah satu komponen pasukan keselamatan negara yang telah banyak memainkan peranan kepada masyarakat.

“Kalau Rela diperlekehkan, kerajaan akan menjadi orang pertama mempertahankan jabatan tersebut. Semua perlu sedar betapa pentingnya peranan Rela.

“Ada orang kata peranan Rela ini hanya menjaga trafik ketika kenduri dan bagi saya itu pemikiran orang cetek,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memperlekehkan peranan Rela apabila menyifatkan pasukan beruniform itu hanya pandai menjaga trafik ketika kenduri dan anggotanya tidak mempunyai kewibawaan untuk ditugaskan membantu tugas pemantauan keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Tambah Azlan, kerajaan sentiasa prihatin memberi pengiktirafan terhadap peranan anggota Rela ini termasuk menaikkan elaun selain beberapa faedah lain.

Sehubungan itu, beliau berharap anggota Rela supaya sentiasa bersama kerajaan khususnya ketika mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kita perlu memilih parti yang akan membentuk kerajaan iaitu Barisan Nasional (BN),” katanya. – 4 Mac 2018.