Cubaan Sebar Maklumat Palsu Di Saat Akhir

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa memberitahu terdapat beberapa media luar dan dalam negara dikenalpasti menerima maklumat palsu yang disalurkan oleh pihak tertentu untuk disebarkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, maklumat yang disalurkan itu akan disebarkan di saat-saat akhir bagi mencetuskan sentimen kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Katanya, mereka ini adalah media luar yang didalangi oleh pihak dalam negara.

“Mereka ingin mencorakkan gerakkan mengikut acuan mereka kerana bila dekat PRU, banyak pihak berkepentingan sama ada dari segi ekonomi, ideologi atau politik.

“Jadi, kita harus faham dan jangan jadikan diri kita mangsa yang terdedah dengan berita yang mempunyai agenda tersendiri kerana banyak negara menjadi huru hara kerana dicetuskan oleh sedikit berita yang dilontarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penerimaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2018) Parlimen Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) hari ini.

Seramai 20,000  masyarakat di Parlimen Ketereh menerima BR1M.

Dalam pada itu, Annuar turut menasihati pemimpin-pemimpin UMNO supaya mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan rakyat sekali gus menjejaskan parti.

“Ia agak berbahaya kerana musuh politik akan mengambil kesempatan dengan memutar belit cerita untuk memburukkan parti sedangkan itu kenyataan individu.

“Jadi, pegawai dan jentera parti seharusnya berusaha meminimumkan kesilapan atau orang kata tertembak kaki sendiri tetapi berusaha lebih untuk memperbetulkan segala berita songsang dan tidak tepat,” katanya. – 4 Mac 2018.