Husam Perlu Buktikan Dakwaannya

PAS berkata Husam Musa perlu membuktikan kebenaran tuduhannya terhadap Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, bukannya membebankan tuduhan kepada Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Timbalan Pengarah Penerangan PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim berkata, segala bukti pastinya ada pada Husam selaku yang menuduh.

“Husam mungkin lebih tahu mengenai asal-usul kewujudan rakaman audio tular di media sosial yang dikatakan mirip suara Nik Mohamad Abduh itu.

“Dia yang menuduh sepatutnya perlu membuktikan dakwaan itu betul bukan hanya tuduh tetapi suruh kita bukti. Kita hendak bukti apa? Husam yang tuduh dan Husam yang tahu audio itu asal dari mana, kita tidak tahu,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad menyifatkan dakwaan tersebut tidak munasabah kerana rakaman itu dikatakan dibuat dalam perjumpaan sulit tetapi nada suara mirip Nik Abduh itu tidak menggambarkan suasana sedemikian.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS tidak perlu melayan gesaan untuk menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat kesahihan audio tersebut.

Katanya, isu yang dibangkitkan Husam itu hanya bersifat ‘bankrap’ isu.

“PAS pula cabar Husam supaya tampil dengan bukti kukuh termasuk masa, tempat dan sebagainya bagi menyokong dakwaannya itu.

“Hanya orang bodoh yang mengakui dakwaan seumpama itu, tampil dan dedahkan kesemua rakaman tersebut,” katanya.

Rakaman audio yang mengakui menerima wang daripada UMNO dikaitkan dengan Nik Abduh tular di laman sosial minggu lalu.

Turut dipetik dalam rakaman itu ialah nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Husam mengakui rakaman audio yang tular itu berasal daripada dirinya.

Sehubungan itu beliau mencabar Nik Abduh supaya menafikan suara dalam rakaman audio tersebut bukan dirinya dan bersedia disaman jika dakwaannya salah.

Nik Abduh menafikan perkara itu sekeras-kerasnya serta menyifatkan ia sebagai karut dan fitnah ke atas dirinya serta PAS. – 4 Mac 2018.