Limpahan Peluang Pekerjaan Di Tok Bali

Pembangunan projek Pangkalan Perbekalan Tok Bali (TBSB) bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dengan menyediakan lebih 18,000 limpahan peluang pekerjaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, selain kemasukan pelaburan, kemudahan itu mampu memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada ekonomi setempat, termasuk peluang pekerjaan, pembangunan dan pelancongan.

Katanya, sebanyak 3,000 pekerjaan diwujudkan secara langsung menerusi pengoperasian TBSB sejak tahun lalu.

Tambah beliau, bakinya pula diwujudkan secara tidak langsung menerusi aktiviti hiliran seperti pembangunan sektor pelancongan melibatkan hotel serta restoran.

“Setakat ini, sebanyak RM220 juta telah dibelanjakan untuk projek ini dan dijangka akan meningkat sehingga RM260 juta pada pertengahan tahun ini.

“TBSB mempunyai 40 penyedia perkhidmatan dan syarikat. Ia berhasrat menambah sehingga 120 penyedia perkhidmatan dalam beberapa tahun akan datang, selain menjangkakan 600 kapal akan berlabuh tahun ini berbanding 309 kapal pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai projek tersebut di Ibu Pejabat TBSB Sdn. Bhd., di Tok Bali, Pasir Puteh Kelantan hari ini.

Hadir sama Pengerusi TBSB Sdn. Bhd. Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Yahaya Mamat.

Mustapa turut meluangkan masa hampir 30 minit melawat TBSB.

Katanya, setakat ini, sebanyak RM220 juta sudah dibelanjakan untuk projek terbabit dan dijangka akan meningkat sehingga RM260 juta pertengahan tahun ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan membangunkan kawasan industri di atas tanah seluas 80 hektar tanah dengan peruntukan sebanyak RM200 juta.

“TBSB juga akan membangunkan ‘district park di kawasan seluas 80 hektar ,” katanya. – 4 Mac 2018.