PRU14: Polis Kelantan Kenal Pasti Beberapa ‘Kawasan Panas’

Polis Kelantan bersedia dengan lebih 4,000 pegawai dan anggota untuk ditugaskan sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ia membabitkan pasukan Light Strike Force (LSF), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Katanya, anggota terbabit akan ditugaskan untuk mengawal di 521 tempat mengundi yang digazetkan.

”Jika pasukan ini tidak mencukupi, ada pasukan sokongan yang dibekalkan oleh Bukit Aman.

“Mereka akan ditugaskan untuk menjaga 521 tempat mengundi yang digazetkan serta mengawal keamanan dan ketenteraman awam terutama jika berlaku rusuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada latihan amal simulasi PRU14 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu kelantan malam tadi.

Menurut Hasanuddin, pihaknya turut mengenalpasti beberapa ‘kawasan panas’ yang mungkin akan menyebabkan kekecohan pada PRU14 ini.

Beliau bagaimanapun, tidak mendedahkan kawasan tersebut dan memohon agar para penyokong parti politik tidak menimbulkan sebarang kekecohan.

“Tak usah bergaduh sebab ini pilihan raya, ini demokrasi.. yang menang, menanglah, yang kalah kena terima kekalahan itu,” katanya. – 4 Mac 2018.