Universiti Al-Quran Di Kelantan

Sebuah Universiti al-Quran akan ditubuhkan di Kelantan jika UMNO diberi mandat memerintah negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Senator Datuk Hanafi Mamat berkata, penubuhan Universiti al-Quran amat bertepatan dengan cara hidup rakyat  Kelantan yang sangat cintakan ilmu agama.

“Jadi kita akan terus suburkan perkembangan ilmu ini dalam kalangan masyarakat di negeri ini khususnya,” katanya.

Dalam pada itu katanya, aspek pembangunan dan kebajikan rakyat termasuk golongan belia serta kaum minoriti tetap menjadi perhatian dan semua itu terkandung dalam manifesto PRU14 nanti.

Katanya, semua kerangka itu telah dirumuskan dengan baik bagi memastikan parti itu mampu menepati cita rasa rakyat Kelantan.

Beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat Kelantan memberi ruang kepada UMNO untuk mentadbir negeri itu.

Katanya, rekod 60 tahun parti itu mentadbir negara ini dengan jayanya perlu dijadikan sandaran oleh rakyat Kelantan untuk memberi mandat kepada Umno. – 4 Mac 2018.