Agong Sokong Langkah Kerajaan Tangani Isu Rakyat

Gmbar Bernama

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menyokong langkah kerajaan melalui pelbagai inisiatif dalam usaha menangani isu rakyat terutamanya berhubung kos sara hidup.

Baginda yakin kemampuan kerajaan menangani isu berkenaan berikutan langkah kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi merangka program bersesuaian yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban rakyat.

“Kerajaan beta akan terus menyediakan peruntukan bagi melaksanakan lebih banyak program dan projek berpaksikan rakyat demi kesejahteraan mereka.

“Subsidi dan bantuan bersasar akan terus disediakan kepada golongan yang memerlukan,” titah Seri Paduka ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.

Baginda turut menyokong cadangan untuk menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial.

Baginda bertitah, pada masa ini, media sosial amat berpengaruh dalam membentuk nilai-nilai dan budaya sesuatu masyarakat.

“Semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing untuk mempertahankan budi pekerti dan nilai-nilai baik masyarakat,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menitahkan kerajaan sentiasa mempertingkatkan tahap kesediaan terutamanya dalam penguatkuasaan termasuk di ruang siber, keupayaan risikan, rondaan di sempadan dan perairan negara serta membanteras aktiviti pemerdagangan orang.

“Beta juga berharap tiada pihak yang menjadikan isu keselamatan negara sebagai bahan sendaan dan mainan politik,” titah baginda. – 5 Mac 2018.