Husam Kata PH Akan Buka Semula KPK

Pemimpin Pakatan Harapan berhasrat untuk menghidupkan semula kilang papan Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) di Jelawang, Dabong sekiranya mereka diberi mandat memerintah Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa berkata,  kilang yang diasaskan oleh bekas Menteri Besar Tan Sri Mohamed Yacob itu perlu dihidupkan semula untuk dimanfaatkan kepada rakyat di kawasan sekitar.

“Sekarang tuan-tuan semua tahu, kilang papan milik KPK ini telah ditutup oleh kerajaan PAS.

“InsyaAllah bila Pakatan Harapan dipilih nanti, kilang ini akan beroperasi semula,” katanya pada majlis perasmian cawangan dan dialog rakyat di Jelawang, Dabong.

Husam berkata, kerajaan PAS Kelantan gagal mengurus KPK dengan baik menyebabkan syarikat pembalakan itu lumpuh sama sekali.

“Saya telah beberapa kali membangkitkan perkara ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk meminta kerajaan membenarkan laporan audit diumumkan.

“Walaupun kilang KPK ditutup, balak masih terus dikeluarkan. Ini bermakna sekarang balak berkenaan dijual kepada orang lain dan tiada lagi manfaat untuk rakyat yang bekerja di situ,” katanya. – 5 Mac 2018.