PH Lancar Manifesto PRU14 Khamis Ini

Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan manifestonya untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Khamis ini.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Dr. Rais Hussin berkata, manifesto yang mengandungi 130 halaman itu akan menumpukan kepada perubahan institusi dalam usaha PH mengambil alih Putrajaya.

“Kami bercakap tentang perubahan yang tulen. Penjagaan kesihatan untuk rakyat. Kaji selidik menunjukkan rakyat sangat bimbang tentang kesihatan. Lebih 96 peratus bimbang tentang kos sara hidup dan pengangguran.

“Perkara ini yang akan ditangani dalam manifesto kami. Ia akan menjadi manifesto yang lengkap, pragmatik dan praktikal,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.

Rais berkata, terdapat 100 janji yang ditawarkan gabungan pembangkang dalam manifesto itu dan 10 daripadanya akan ditunaikan dalam tempoh 100 hari pengambilalihan kerajaan. – 5 Mac 2018.