Guan Eng Enggan Mohon Maaf, Sedia Berdepan Saman Azeez

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim menuntut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, menarik balik kenyataaan yang mengaitkan dirinya dengan bayaran RM3 juta daripada Konsortium Zenith Construction berhubung kerja-kerja rundingan berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

Abdul Azeez memberi tempoh sehingga minggu depan untuk Guan Eng membuat permohonan permohonan maaf secara terbuka menerusi media arus perdana, media cetak dan portal dalam talian atau berdepan tindakan saman.

Abdul Azeez berkata, peguamnya sudah menyerahkan surat berhubung perkara itu kepada wakil Guan Eng semalam dan tindakan lebih serius akan diambil jika beliau gagal berbuat demikian.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk menghantar tuntutan kepada Lim, surat telah dihantar ke pejabat Lim semalam sekitar jam 3.40 petang dan surat seterusnya telah dihantar ke rumah beliau di Jalan Pin Hon, Pulau Pinang pada jam 4.30 petang, semalam.

“Saya telah menyaman beliau dan ini surat bukti dan pejabat beliau telah menerima surat ini,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

Dalam surat tuntutan itu Abdul Azeez meminta Guan Eng menarik balik semua kata fitnah terhadapnya, parti keramat UMNO, Tabung Haji dan rakyat Baling

Sebelum ini, Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Abdul Azeez yang didakwa menerima bayaran RM3 juta oleh Konsortium Zenith untuk khidmat rundingan pengurusan risiko dan pematuhan peraturan bagi projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Ahad lalu, Abdul Azeez memaklumkan Konsortium Zenith menyerahkan notis menarik balik tuntutan dan meminta maaf secara terbuka kerana mengaitkannya dengan projek terbabit.

Beliau berkata, Guan eng kerap menyebutnya sebagai Ahli Parlimen UMNO Baling dan mendakwa UMNO menerima duit berkenaan, serta mempertikai kredibilitinya sebagai Pengerusi Tabung Haji dalam kenyataan fitnahnya, termasuk yang disiarkan di TV3, semalam.

“Malam tadi, TV3 tunjuk Guan Eng tayang wajah saya seperti saya seorang penjenayah besar minta SPRM tahan saya, dan tanya adakah alasan mereka tak tahan saya kerana saya Ahli Parlimen UMNO Baling.

“Jangan kaitkan Tabung Haji yang memiliki sembilan juta pendeposit dan UMNO yang memiliki tiga juta ahli Tabung Haji.

“Mereka semua nak tahu kenapa saya difitnah dan kenapa Tabung Haji dan UMNO dikaitkan,” katanya sambil menegaskan, beliau tiada kena mengena dengan Konsortium Zenith.

Sementara itu, Guan Eng berkata, tidak akan memohon maaf kepada Abdul Azeez dan sedia berdepan tindakan saman Abdul Azeez.

“Azeez, tolonglah. Kami akan lawan saman tersebut,” katanya. – 6 Mac 2018.