PPBM Kata Kerajaan PAS Kelantan Patut Malu Dengan Kegagalan Mereka

Kerajaan PAS Kelantan sepatutnya berasa malu dengan kegagalan mereka menyediakan infrastruktur termasuk tempat riadah kepada rakyat walau telah diberi mandat memerintah negeri itu selama 28 tahun.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pasir Mas, Dr. Wan Zulkhairi Wan Mohd. Zin berkata, kegagalan itu menyebabkan rakyat di kawasan Pasir Mas tidak dapat melakukan aktiviti riadah dengan sempurna.

“Sebagai sebuah kerajaan, mereka perlu mengambil serius perkara ini walaupun ia nampak seolah-olah seperti satu perkara kecil.

“Bagi saya pemimpin PAS di kawasan Pasir Mas sepatutnya malu dengan kegagalan mereka walaupun telah diberikan mandat oleh rakyat untuk menerajui kepimpinan negeri ini.

“Saya sedih melihat golongan muda di sini seolah-olah tiada arah untuk meredakan tekanan setelah penat bekerja termasuklah pelajar dan mereka yang sudah berkeluarga,” katanya.

Beliau berkata, keadaan tersebut menyebabkan ramai golongan muda menghabiskan masa dengan melepak semata-mata mahu mengisi masa lapang mereka.

Katanya, beliau khuatir situasi itu boleh menyebabkan mereka ini terlibat dengan aktiviti tidak bermoral seperti penagihan dadah dan sebagainya.

Tambahnya, kebanyakkan tempat riadah yang ada di kawasan tersebut juga tidak diselia dengan baik. – 6 Mac 2018.