Suami Ziana Zain Didakwa Dera Anak

Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, suami kepada penyanyi terkenal Ziana Zain, didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas tuduhan mencederakan anaknya.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, Amir Zaharin dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam ke atas anak lelakinya dengan menggunakan sebatan rotan di No 7, Jalan Elektron U16/58E Denai alam pada 25 Februari tahun ini pukul 4 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dari mana-mana dua darinya.

Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh memaklumkan tujuan dia merotan anaknya adalah untuk mengajar anaknya mengaji dan solat, namun anaknya tidak faham.

Armin Zaharin memohon mengurangkan wang jaminan.

Majistret menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes pada 4 April nanti.

Ziana membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 27 Februari lalu.

Ziana berkahwin dengan Armin Zaharin yang merupakan bekas pramugara Kanan Penerbangan Malaysia pada 9 Mei 1998.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18 , Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9. – 6 Mac 2018.