AKSB: Husam Sedia Beri Maklumat Kepada SPRM

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Husam Musa menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung dakwaan pemberian kontrak projek Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang mencurigakan.

Malah, beliau turut bersedia untuk memberi maklumat berkaitan kepada suruhanjaya itu bagi membantu siasatan.

“Sumber yang memberi maklumat kepada saya juga bersedia memberi keterangan di mahkamah nanti.

“Sumber-sumber’ itu telah menyimpan kemas dokumen yang dikatakan hilang ketika siasatan awal dilakukan.

“Saya boleh dihubungi oleh SPRM untuk mendapatkan nama  yang telah bersedia tampil demi  kesejahteraan rakyat Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Datuk Hanifa Ahmad semalam memberitahu AKSB akan membuat siasatan dalaman bagi mencari dalang yang membocorkan dokumen projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa II (Pakej I) kepada pihak luar.

Hanifa yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB  berkata, siasatan itu bagi mencari jawapan bagaimana dokumen tender projek bernilai RM27.1 juta itu bocor.

Dalam pada itu, Husam berkata, dakwaan bahawa kontrak yang diberikan kepada syarikat Cdah Construction Jangka Prestasi JV Sdn. Bhd. lebih awal daripada pendaftaran diperkukuhkan dengan penjelasan Hanifa semalam.

“Cuma Hanifa cuba memberikan helah bagi kejadian itu berlaku iaitu syarikat itu dalam proses pendaftaran. Syarikat berkenaan telah memohon kebenaran untuk tujuan itu selepas mereka dianugerahkan projek itu.

“Kita akan melihat sama ada alasan ini adalah satu percubaan putar belit dan menutup kesalahan itu atau ianya sah dan benar,” katanya.

Husam sebelum ini mendedahkan surat tawaran tender projek diberikan kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV pada 22 Januari 2015 sedangkan ketika itu syarikat berkenaan masih belum didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan AKSB dengan menyatakan syarikat terbabit hanya menukar nama. – 7 Mac 2018.