Babi Hutan Masuk Masjid

Masjid Sungai Plong di Sungai Buloh, Selangor, kecoh dengan kemunculan seekor babi hutan dipercayai tersesat memasuki  ke dalam masjid malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, babi hutan tersebut dikatakan tiba-tiba muncul di pekarangan masjid dan mengejar beberapa kanak-kanak yang berada di kawasan itu sebelum meluru masuk ke dalam masjid dan menyondol seorang jemaah.

“Jemaah yang menunggu waktu solat Isyak terus menyelamatkan diri dan ada di antara mereka cuba menghalau binatang itu keluar dari dewan solat.

“Babi yang dipercayai cedera di kepala itu kemudian berjaya diumpan keluar dan bertindak melanggar dua buah motosikal..

“Akhirnya binatang tersebut berjaya ditembak oleh seorang jemaah masjid yang mempunyai senapang patah,” kata seorang jemaah yang enggan dikenali.

Difahamkan, beberapa bahagian di dalam dan beranda masjid terjejas akibat kejadian itu.

Bagi menyelesaikan masalah ini, pihak masjid telah menghubungi pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut. – 7 Mac 2018.