Samanlah… Kata Pakatan Harapan Kepada Nik Abduh

Seorang pemimpin ulama PAS menafikan rakaman audio yang dikaitkan dengan suara Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengaku menerima wang daripada UMNO sebagaimana tular di media sosial baru-baru ini.

Bendahari Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, suara tersebut sebenarnya bukan milik anggota parlimen Pasir Mas itu.

Katanya, suara orang lain boleh ditiru termasuk menyerupai suara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta bapa Nik Abduh, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Sebab itu dalam Islam, audio tidak menjadi satu inti yang kukuh (untuk dijadikan bukti) kerana ia terdedah untuk ditipu, ditiru dan sebagainya,” katanya dipetik sebuah portal berita online hari ini.

Rakaman audio yang berdurasi kira-kira 80 saat itu dikatakan milik Nik Abduh yang mengaku menerima dana RM2 juta daripada UMNO.

Turut dipetik dalam rakaman itu ialah nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ia mula menjadi tular sejak minggu lalu dan dipercayai bahagian kedua rakaman berkenaan akan didedahkan selepas ini.

Nik Abduh menafikan perkara itu dan menggesa pihak yang menyebarkan rakaman itu agar bertaubat jika tidak ingin ditimpa balasan Tuhan ekoran memfitnahnya.

Bagaimanapun sesetengah pengkritik melihat penafian Nik Abduh itu bersifat umum bukan menafikan suara itu adalah suaranya.

Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Husam Musa mendakwa, beliau memiliki salinan rakaman audio tersebut yang dipercayai sama seperti yang tular itu.

Bagaimanapun katanya, yang tular itu tidak ada kena mengena dengan dirinya.

Husam hanya bercadang untuk mendedahkan rakaman tersebut selepas parlimen dibubarkan dan sedia bertanggungjawab atas rakaman berkenaan.

Pun demikian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu berpandangan adalah wajar Nik Abduh memfailkan saman bagi membersihkan namanya.

Katanya, Nik Abduh sepatutnya membuktikan beliau masih bermaruah dengan mengemukakan saman berkenaan, sekali gus membersihkan namanya daripada terpalit dengan sesuatu dakwaan.

“Sepatutnya dia samanlah, tak boleh ugut saja.

“Saya tak nak ulas soal saman ini (lebih lanjut) sebab saya sendiri sudah diugut untuk disaman oleh PAS berpuluh kali dah, tapi sampai hari ini saman itu tidak ada,” katanya.

Husam juga turut mempersoalkan penafian Nik Abduh dengan berkata “adakah dia (Nik Abduh) nafi suara dalam audio itu suara dia?”

Beliau berkata, ucapan tersebut dibuat dalam majlis tertutup dan sudah semestinya ada audience, penganjur, tarikh dan perkara yang disebut adalah daripada mulut orang itu.

“Kalau kita (sengaja) nak reka-reka (memang) payah,” jelasnya. – 7 Mac 2018.