Hospital Baharu Kuala Krai Sebagai Hospital Rujukan

Dewan Rakyat semalam diberitahu, Kementerian Kesihatan bercadang menjadikan hospital baharu Kuala Krai di Kelantan sebagai hospital rujukan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya semasa menjawab soalan tambahan Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (PAN-Kuala Krai) berkata, hospital itu akan menjadi ‘subspecialty cluster’.

“Kerana kemudahan yang disediakan merangkumi pelbagai bidang kepakaran termasuk ortopedik dan oftalmologi (mata).

“Pesakit yang perlu rawatan ‘specialty’ (bidang) tertentu boleh dirujuk ke hospital ini dan pesakit daripada kawasan berkaitan juga boleh dirujuk ke hospital ini,” katanya.

Mohd Hatta ingin tahu adakah kementerian bercadang menjadikan hospital itu sebagai pusat rujukan mana-mana kes atau kategori penyakit tertentu.

Terdahulu Hilmi berkata, setakat 31 Januari lepas, pembinaan hospital itu telah mencapai 99.5 peratus siap.

“Ia kini di peringkat pengujian dan pentauliahan serta pemeriksaan bilik ke bilik.

“Proses ini dijangka siap pada 30 Mac 2018, selepas itu akan berlaku pemindahan peralatan yang perlu dipindah dan juga pemindahan kakitangan,” katanya.

Beliau memberitahu, hospital tersebut akan beroperasi sepenuhnya selepas 30 Mac,” katanya. – 8 Mac 2018.