Kelantan Terus Mendapat Layanan Istimewa Kerajaan Persekutuan

Biarpun ditadbir sepenuhnya oleh pembangkang, namun Kelantan terus diberi layanan istimewa oleh Kerajaan Persekutuan dengan  pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Yahya Mamat berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Kelantan menerima peruntukan berjumlah RM14.8 bilion untuk me­laksanakan 354 projek pemba­ngunan di seluruh negeri itu.

Beliau berkata, peruntukan itu bertambah berbanding (RMK-10) hanya RM5.36 bilion untuk me­laksanakan 715 projek pemba­ngunan di Kelantan.

“Menerusi RMK-11 ini, antara projek pembangunan yang sedang dilaksanakan ialah Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai, Jalan Bypass Pasir Mas dan persimpang­an bertingkat lintasan kereta api Tanah Merah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Taklimat Penjelasan Bajet 2018 Peringkat negeri Kelantan di Universiti Malaya, Nilam Puri Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Tambah beliau, projek-projek lain yang akan dilaksanakan ialah pembinaan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok dan Jeli, Hospital Kuala Krai dan Bachok, Ibu pejabat Polis Daerah Pasir Mas dan Bangunan Gunasama Tunjong. – 8 Mac 2018.