SPR Kaji Lanjut Tempoh Kempen

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji keperluan kempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sama ada dilanjutkan atau sebaliknya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, tempoh minimum hari berkempen adalah 11 hari.

“Kita akan mengkaji kepentingan sama ada perlu dilanjutkan,” katanya dalam Program Ruang Bicara, Bernama News Channel, malam tadi.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan tempoh berkempen bagi PRU14 dilanjutkan selama 21 memandangkan bilangan pengundi yang bertambah.

Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

Mohd Hashim berkata, SPR akan memastikan perjalanan pilihan raya umum akan berlangsung dengan baik selain mengikut peraturan undang-undang yang ditetapkan.

Tegas beliau, SPR merupakan institusi bebas dan tidak menerima arahan daripada mana-mana pihak.

Beliau menjangkakan seramai 250,000 petugas SPR dan anggota keselamatan serta pertahanan negara akan terlibat dalam pilihan raya umum kali ini. – 8 Mac 2018.