Yb Khairuddin Pakar Mengecam Suara? Tanya Hanipa

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin mempersoalkan kepakaran Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Khairuddin Aman Razali ketika mempertahankan rakaman audio yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

“Saya nak tanya sikit. Adakah Yb (Khairuddin) yang bela Yb (Nik Abduh) yang seorang lagi itu dia adalah seorang expert (pakar) dalam mengecam suara orang lain dalam rakaman audio?

“Bukan apa, yang saya tahu beliau bukan pakar dalam bahagian itu. Mungkin saya silap kot. Maaflah.

“Keduanya, bukankah jika kita nak tahu suara itu suara siapa individu yang di”implicated” itu sewajarnya buat laporan polis (jika belum buat lah) bagi membolehkan polis siasat dan dapatkan saksi pakar untuk mengkaji “suara misteri” dalam audio itu.

“Itulah yang saya tahu prosedurnya. Jika sudah buat laporan polis, kita tunggulah hasil siasatan polis itu. Janganlah kita, orang putih kata, “jump the gun”,” kata Hanipa menerusi entri facebooknya.

Khairuddin semalam dilaporkan berkata, ada ramai yang boleh meniru suara orang lain, termasuk menyerupai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta bapa Nik Abduh, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, audio tidak menjadi satu inti yang kukuh (untuk dijadikan bukti) kerana ia terdedah untuk ditipu, ditiru dan sebagainya.

Tegas Hanipa, sekiranya rakaman audio itu satu fitnah, pemimpin PAS sewajarnya mengambil tindakan mahkamah.

“Setakat menafi rasanya tak cukup Yb. Bila disaman audio itu akan dimainkan dalam mahkamah. Penama yang dikaitkan dengan suara itu akan disoal balas oleh peguam.

“Saksi dia pun akan disoal balas juga. Oleh kerana MP (Khairuddin) yang bela ini nampaknya begitu pasti ia bukan suara MP itu, maka bolehlah penama itu sapina dia sebagai saksi pakar! Mesti lejen,” katanya.

Rakaman audio yang dikaitkan dengan suara pengakuan Nik Abduh menerima RM2 juta dana daripada UMNO itu tular dalam media sosial sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun Nik Abduh menafikan perkara itu sekeras-kerasnya serta menganggap ia adalah fitnah dan mengarut.

Namun sesetengah pengkritik melihat penafian Nik Abduh itu adalah bersifat umum dan tidak menafikan itu adalah suara beliau. – 8 Mac 2018.