Kemampuan UMNO Memartabatkan Islam Diiktiraf Dunia

UMNO tidak pernah mengetepikan agenda Islam di negara ini sebagaimana tohmahan dilemparkan oleh sesetengah pihak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun masih ramai masyarakat yang berpersepsi negatif terhadap kemampuan UMNO namun keupayaan mereka memartabatkan agama Islam diiktiraf di peringkat dunia.

“Kita ternyata telah terkehadapan dalam membangunkan agenda Islam dan pelbagai kejayaan yang diiktiraf di peringkat dunia.

“Buktinya, seperti penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang merupakan institusi agama terulung di negara ini dan dikenali di peringkat dunia, Tabung Haji yang diiktiraf sebagai pengurusan haji terbaik, bidang muamalat serta kehakiman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Dialog Pembangunan Islam di Malaysia di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Mustapa berkata, rakyat tidak perlu ragu dengan kemampuan serta kredibiliti UMNO mengenai agenda Islam kerana ia telah menjadi prinsip perjuangan parti keramat Melayu itu. – 9 Mac 2018.