Menghadkan Jawatan PM, MB Bukan Isu Utama

Perkara menghadkan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Pakatan Harapan (PH) bukan menjadi isu utama.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, penggiliran atau menghadkan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar kepada dua penggal bukanlah perkara utama yang seharusnya ditonjolkan kepada rakyat.

“Saya tidak mahu komen manifesto orang kerana PAS sendiri pun akan keluarkan manifesto sendiri dalam masa terdekat tetapi saya berpendapat isu seperti (penggiliran) umpamanya bukanlah perkara utama walaupun ada kebaikan di situ.

“Bagi saya ada isu yang lebih besar yang perlu ditonjolkan kepada rakyat dan PAS ada tawaran kita sendiri melalui Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera yang kita utarakan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Dataran Ilmu di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Dalam manifestonya, Pakatan Harapan menawarkan 60 janji termasuk 10 janji akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran mereka.

Mohd. Amar berkata, janji PH untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula sebenarnya meniru apa yang telah diperjuangkan PAS sebelum ini. – 9 Mac 2018.