Pembangkang Tiada Idea

Manifesto Pakatan Harapan tidak ubah seperti indah khabar dari rupa, kata Setiausaha Badan Perhubungan Negeri Kelantan Senator Datuk Hanapi Mamat.

Semasa diminta mengulas perkara itu (manifesto) beliau berkata, melihat 60 janji yang dikemukakan, jelas pakatan cuba menipu rakyat melalui janji.

“Kita tidak perlu melihat janji ini dapat ditunaikan atau tidak, kita tengok tiga negeri bawah mereka di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan pun sudah tahu mereka sebenarnya gagal menjadi kerajaan yang menepati janji.

“Apa berlaku kepada rakyat di Pulau Pinang. Apa berlaku kepada rakyat di Selangor dan Kelantan? Ketiga-tiga kerajaan ini menjanjikan bulan dan bintang, tetapi selepas dua penggal memerintah dan Kelantan hampir 28 tahun apa yang rakyat dapat?

“Nasihat saya kepada PH, tidak perlu memasang angan-angan terlalu tinggi, takut jatuh nanti, tidak sempat melihat dunia,” katanya.

Pakatan Harapan menawarkan 60 janji menerusi manifestonya termasuk 10 janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran mereka.

Hanapi berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menunaikan 98 peratus janji yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan berjaya mengubah taraf sosio ekonomi rakyat.

Dalam pada itu, beliau menempelak Pakatan Harapan kerana mengemukakan manifesto yang diciplak daripada kejayaan BN.

“Mereka tidak ada idea untuk menjanjikan perkara baharu yang tidak tidak dilakukan oleh BN, kerana semua 60 janji yang terkandung dalam manifesto mereka itu adalah yang BN telah, sedang dan akan lakukan,” katanya. – 9 Mac 2018.