PKR Beruas Ancam Undi BN

PKR Beruas akan memastikan Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekiranya Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Baharu di Perak kepada calon Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ketua Cabang PKR Beruas, Abul Jais Asfaq Ahmed berkata, PKR  mempunyai lebih pengaruh dan kekuatan jenteranya meyakinkan mereka untuk menang di kawasan itu.

“Kerusi tersebut sepatutnya milik PKR. Jentera kami kuat dan sudah tiga tahun buat kerja. Jika mereka (pimpinan PH) tak beri, kami akan pastikan BN menang,” lapor sebuah portal berita online hari ini.

Menurut laporan itu, rundingan kerusi di peringkat negeri yang terakhir pada 15 Januari 2018 masih mengekalkan DUN Pengkalan Baharu kepada PKR namun segalanya berubah apabila dibawa ke pusat dan dirunding semula.

“Kami telah bekerja bersungguh-sungguh sejak 3 tahun yang lalu. Banyak program yang telah dibuat.

“Bilik gerakan pilihan raya juga dibuka. Jentera parti dan sukarelawan telah dilatih. Puluhan ribu ringgit dibelanjakan. Ramai pimpinan pusat dan negeri datang ke sini melihat sendiri persiapan yang kami lakukan,” katanya.

Kawasan tersebut kini diwakili oleh BN apabila calonnya Datuk Abd. Manaf  Hashim mengalahkan calon PAS Khairuddin Abd. Malik dengan majoriti 2500 undi pada PRU13 yang lepas. – 9 Mac 2018.