Hapus GST Perkara Tidak Realistik

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan antara satu elemen penting yang memberi pendapatan kepada kerajaan, kata Datuk Takiyuddin Hassan.

Justeru, Setiausaha Agung PAS itu menyifatkan janji Pakatan Harapan (PH) dalam Manifestonya untuk menghapuskan GST sebagai satu perkara yang tidak realistik dan sukar dicapai.

“Pada asasnya dalam dunia ini ada tiga perkara yang kita tidak boleh elak iaitu kematian, perubahan dan cukai,” katanya selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung PAS Kali Ke-61 PAS Kawasan Tumpat, Kelantan hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, apa yang perlu ditekankan adalah kaedah pelaksanaan cukai itu, supaya isu beban kepada golongan berpendapatan rendah dapat diselesaikan.

“Walaupun ada cukai tetapi ia mestilah tidak membebankan rakyat, mekanisme perlu dicari contohnya mengenakan cukai kepada golongan korporat dan yang aktif di bursa saham tetapi untuk rakyat miskin perlu ada satu skim sendiri,” katanya.

Pakatan Harapan melancarkan manifestonya yang menjanjikan 10 perkara, terutama meringankan beban rakyat dalam masa 100 hari pertama pentadbiran kerajaan mereka.

Tawaran paling popular adalah menghapuskan GST.

Pakar ekonomi negara, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, langkah tersebut (mansuh GST) merupakan cubaan untuk menjejaskan kestabilan, kemampanan dan integriti bajet negara.

Beliau mempersoalkan mekanisme lain yang akan dibuat untuk memperoleh sebanyak RM40 bilion yang dikutip daripada cukai tersebut jika GST dimansuhkan.

“Ketika banyak negara melaksanakan GST untuk meningkatkan pendapatan negara, mengapa Pakatan Harapan mengambil langkah kebelakang.

“Saya hairanlah. Kalau GST ini tidak baik mengapa hampir kebanyakan negara di dunia melaksanakannya.

“Kenapa kita perlu ambil langkah kebelakang sedangkan ada negara berjaya dengan sistem tersebut,” katanya.

Menurutnya, tindakan menghapuskan GST akan menyebabkan jurang antara golongan miskin dan kaya akan semakin melebar. – 10 Mac 2018.