Kalah Di Kelantan, PAS Sangkal Kaji Selidik Invoke Malaysia, Kekal Baiah

PAS menyangkal kaji selidik Invoke Malaysia bahawa parti Islam itu kalah di Kelantan dengan mengatakan ia hanya sekadar kajian atas meja, tidak sampai ke lapangan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mempunyai kajian sendiri serta tidak menolak hasil kajian orang lain untuk perbandingan.

“Dalam PAS kita ada kajian sendiri dan kajian kita bertapak pada akar umbi berbanding hasil kaji selidik Invoke Malaysia yang tiada akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat PAS Kawasan Tumpat di Pantai Seri Tujoh, Tumpat Kelantan hari ini.

Pengasas kaji selidik Invoke Malaysia, Rafizi Ramli sebelum ini berkata, PAS gagal memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selain Kelantan akan dimenangi Barisan Nasional (BN).

Malah, kaji selidik itu turut mendapati pakatan pembangkang mampu menang di lima negeri termasuk Selangor, Kedah, Perak dan Johor.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menyarankan, Rafizi membuat kaji selidik di Selangor sama ada PKR masih mampu mempertahankan negeri itu atau sebaliknya.

“Itu hasil kajian dia dan sudah terbukti beberapa kajian dilakukan sebelum ini meleset,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi memberitahu PAS akan mengekalkan amalan baiah kepada calon-calonnnya yang akan bertanding dalam PRU14 nanti.

Katanya, konsep dan dasar baiah dikekalkan manakala sebarang lafaz tambahan bergantung kepada PAS negeri.

“Tambahan itu mengikut keadaan negeri masing-masing, kita sudah ada asas dan kita berpegang kepada asas,” katanya. – 10 Mac 2018.