Anggota PBS Bakal Terima Elaun Bertugas

Bagi menghargai peranan dan sumbangan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dalam membantu tugas-tugas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), anggota pasukan sukarelawan itu bakal menerima elaun bertugas.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, jika tidak ada halangan, bayaran sebanyak RM6 sejam itu akan mula diberikan selepas pindaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 diluluskan di Dewan Rakyat kelak.

Katanya, pindaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 bagi membolehkan penubuhan pasukan bomba sukarela tersebut didaftarkan terus melalui JBPM itu dijangka dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

“Cadangan pindaan ini sudah lulus di peringkat Kabinet dan kita kini dalam persiapaan membentangkan pindaan akta tersebut di Parlimen. Insya-Allah jika tidak ada halangan ia akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat kali ini dan prosesnya dijangka selesai menjelang pertengahan tahun ini.

“Kita mempunyai lebih 15,000 anggota membabitkan 370 pasukan bomba sukarela. Elaun ini akan dibayar kepada anggota yang terlibat membantu kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran sahaja.

“Selalunya, terdapat 10 hingga 20 anggota daripada setiap pasukan terbabit dalam kerja-kerja memadam kebakaran dan menyelamat ini,” katanya.

Kelmarin Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) meminta kerajaan supaya menimbangkan untuk menyediakan elaun khas buat anggota PBS dalam cadangan meminda Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye dilaporkan berkata, cadangan pindaan itu perlu disokong semua pihak kerana ia membolehkan PBS didaftarkan terus menerusi JBPM, sekali gus memudahkan pengurusan dan penyaluran bantuan dan elaun.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Nor berkata, pemberian elaun bertugas itu adalah insentif terbaharu selepas sebelum ini pihaknya memperuntukkan sebanyak RM3 sehingga RM4 juta setahun kepada PBS meliputi bantuan peralatan dan insurans.

“PBS telah banyak membantu melicinkan kerja-kerja menyelamat dan memadam kebakaran dan peranan mereka cukup dihargai,” katanya. – 11 Mac 2018.