Exco Pula Ingatkan Husam Jangan Lari

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Husam Musa, bakal berdepan saman kerajaan PAS Kelantan setelah didakwa memfitnah Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, surat saman itu akan dihantar oleh peguam yang dilantik kerajaan negeri selewat-lewatnya Selasa ini.

“Saya harap beliau (Husam) menerima surat saman itu bagi membolehkan proses lanjut dijalankan mengikut prosedur undang-undang.

“Husam sebelum ini suka melarikan diri (setiap kali disaman), jadi saya harap kali ini beliau tidak lagi berbuat demikian,” katanya selepas ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri berhubung dakwaan Husam wujudnya penyelewengan dalam syarikat AKSB.

Baru-baru ini, Husam menuntut kerajaan PAS Kelantan menjelaskan status sebuah syarikat usaha sama yang memperoleh tender RM27.1 juta bagi tujuan mereka bentuk skim bekalan air di Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong, Machang, tiga tahun lalu.

Husam berkata, syarikat berkenaan telah dianugerahkan surat setuju terima pada 22 Januari 2015, sedangkan ia ditubuhkan dua bulan setengah, kemudian.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah sebelum ini mengingatkan Husam supaya tidak melarikan diri apabila menerima surat saman yang dikemukakan kepada beliau nanti.

Menurut Mohd. Amar, terdapat lima saman ‘menanti’ Husam iaitu daripada pihak Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), serta dari beberapa buah anak syarikat kerajaan negeri yang lain.

Sementara itu, dalam reaksi balasnya Husam menegaskan beliau tidak pernah lari, malah mengalu-alukan tindakan saman yang bakal dibuat kerajaan Kelantan terhadapnya.

Tindakan tersebut katanya membolehkan beliau membawa mereka yang berkaitan termasuk Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan exco-exco kerajaan negeri ke mahkamah.

“Menerusi perbicaraan nanti memberi peluang semua yang berkaitan didedahkan,” kata Husam. – 11 Mac 2018.