Pakatan Harapan Hipokrit, Penuhi Kepentingan Peribadi

Janji Pakatan Harapan diketuai DAP untuk menghadkan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar kepada dua penggal disifatkan sebagai hipokrit dan hanya bertujuan untuk memenuhi keperluan peribadi segelintir pemimpin dalam gabungan tersebut.

Dalam masa sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man turut mencadangkan agar kerajaan DAP Pulau Pinang merealisasikan terlebih dahulu janji tersebut memandangkan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng sudah dua penggal memegang jawatan itu.

Azlan berpandangan, sistem yang bakal digunakan oleh Pakatan Harapan itu bukan sistem terbaik yang boleh dipraktikkan kerana ia bakal memberi kesan jangka panjang kepada negara.

“Penggiliran jawatan Perdana Menteri atau Menteri Besar itu dilihat tidak praktikal kerana ia bakal menyebabkan dasar berubah sekali gus memberi kesan khususnya berkaitan ekonomi.

“Apa yang dicadangkan itu hanya bagi memenuhi keperluan diri sendiri dan parti mereka (Pakatan Harapan) semata-semata bukan bertujuan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau diminta mengulas janji Pakatan Harapan diketuai DAP dalam manifesto mereka yang mahu menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar kepada dua penggal sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, Azlan berkata, manisfesto Pakatan Harapan khususnya untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilihat hanya untuk mengula-gulakan rakyat.

“Sistem tersebut sudah diamalkan di lebih 160 buah negara dan Malaysia boleh dikatakan negara terendah iaitu 6 peratus berbanding negara-negara lain yang ada mengenakan caj sehingga 20 peratus,” katanya. – 11 Mac 2018.