Pakatan Harapan Syok Sendiri

Manisfesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan diketuai DAP disifatkan sebagai ‘syok sendiri’ dan tidak mungkin dapat dilaksanakan khususnya melibatkan cadangan memperkenalkan bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tawaran tersebut dilihat tidak realistik dan di mana pakatan itu hendak mencari sumber untuk melaksanakannya termasuk beberapa lagi tawaran lain yang tidak masuk akal.

Dalam masa sama, Shahidan juga mencabar Pakatan Harapan untuk
mengemukakan fakta secara jelas sumber yang diperoleh mereka untuk melaksanakan pelbagai tawaran dalam manisfesto tersebut.

“Sesiapa sahaja boleh berjanji tetapi mampukah Pakatan Harapan merealisasikannya. Setakat janji sesiapa pun boleh dan dimana mereka hendak cari duit.

“Mereka ini hanya berjanji tanpa memberi fakta. Peringkat negeri pun gagal seperti Pulau Pinang dan Selangor pula dengan masalah air, bagaimana hendak perintah negara,” katanya.

Beliau mengulas manisfesto PRU-14 Pakatan Harapan diketuai DAP yang bersifat populis termasuk menabur janji memperkenalkan bayaran KWSP untuk suri rumah di negara ini.

Tambah Shahidan, situasi tersebut berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa realistik dalam setiap janji yang ditawarkan kepada rakyat. – 11 Mac 2018.