Pusat Lulus RM5.7 Juta Bina Susur Keluar Lebuh Raya Pasir Hor – Perol

Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM5.7 juta bagi pembinaan susur keluar lebuh raya dari Pasir Hor ke Perol di Kota Bharu, Kelantan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPN), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lebuh raya itu sebelum ini menjadi projek gajah putih apabila tidak dapat digunakan rakyat berikutan tiada susur keluar.

“Saya membuat surat kepada Kementerian Kerja Raya dan Alhamdulillah, kerajaan meluluskan peruntukan RM5.7 juta bagi membolehkan pembinaan susur dilaksanakan.

“Malah, sebelum ini rakyat juga memohon untuk kemudahan susur berkenaan dan kelulusan itu membuktikan Kerajaan Pusat prihatin terhadap rakyat Kelantan.

“Projek itu dijangka mengambil masa selama enam bulan dan semestinya menggembirakan rakyat apabila boleh menggunakan lebuh raya itu selepas ini,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Sementara itu, UMNO Kelantan menafikan dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya beliau pernah menyalurkan peruntukan yang besar kepada negeri itu sepanjang pemerintahannya selama 22 tahun.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, itu kenyataan terdesak Mahathir bagi meraih sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Dia (Tun Dr. Mahathir) mendakwa banyak yang sudah dibelanjakan di Kelantan dan beri alasan mendapat tentangan untuk majukan negeri itu.

“Itu hanya dolak-dalik Tun Mahathir kerana sudah jelas sepanjang pemerintahan Datuk Seri Najib Razak, peruntukan kepada Kelantan jauh lebih besar,” katanya.

Dalam ceramahnya di Bachok malam tadi, Mahathir berkata, banyak peruntukan yang disalurkan bagi membantu Kelantan semasa menerajui kerajaan dahulu. – 11 Mac 2018.