Sekat Peruntukan: PAS Akan Hantar Surat Kepada Sultan Selangor

PAS Selangor akan menghantar surat pemakluman kepada Sultan Selangor berhubung isu peruntukan wakil rakyat mereka yang didakwa dibekukan.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata, surat tersebut   bukan untuk minta campur tangan istana atau mencabar sesiapa.

“Surat itu bertujuan memaklumkan kepada sultan mengenai isu sebenar dihadapi  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan penyelaras PAS di negeri ini.

“Dan surat itu bukan untuk cabar sesiapa pun. Kita nak beritahu Sultan Selangor cerita yang betul. Itu sahaja. Bukan nak minta tuanku campur tangan ke apa.

“Tuanku sebagai payung kepada rakyat dan kita nak maklumkan sebab rakyat sentiasa bertanya. Rakyat dalam keadaan runsing (kerana) tiba-tiba tak dapat bantuan mereka,” katanya.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini mengalu-alukan PAS menulis surat kepada Sultan Selangor berhubung isu tersebut.

“Silakan (tulis surat kepada istana),” kata Azmin.

Sallehan sebelum ini dilaporkan berkata, beliau dimaklumkan pegawai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) negeri bahawa peruntukan kepada wakil rakyat parti itu untuk tahun ini akan dibekukan.

Azmin menafikan Kerajaan Selangor menyekat peruntukan tersebut dengan berkata, kelewatan itu mungkin berpunca dari masalah teknikal dan berjanji untuk menyelesaikannya.

Sallehen berkata, beliau akan mewakili ADUN dan penyelaras PAS menyerahkan surat itu kepada Istana Selangor kerana Azmin enggan memberi peruntukan itu selepas pelbagai usaha dilakukan wakil rakyat parti Islam itu.

“Proses berjumpa dengan Azmin sudah ada ADUN yang sudah buat. Ada yang sudah tulis surat pada dia. Dia tetap tidak bagi, jadi memang niat dia tak nak bagi,” katanya.

PAS memenangi 15 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-13, iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Chempaka, Meru, Dusun Tua, Tanjung Sepat, Sabak, Gombak Setia, Bangi, Seri Serdang, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Hulu Kelang.

Bagaimanapun ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib serta ADUN Morib, Hasnul Baharuddin keluar PAS tidak lama selepas PRU-13 dan menyertai Parti Amanah Negara (PAN). – 11 Mac 2018.