Operasi Roboh Pasar Pasir Puteh Kecoh, Peniaga Halang Jentolak PBT

Operasi meroboh pasar lama Pasir Puteh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) hari ini gagal apabila ia dihalang lebih 300 peniaga pasar berkenaan.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Besar itu, Kamarzaman Che Ngah berkata, seramai 375 peniaga akan mempertahankan pasar berkenaan daripada diroboh oleh pihak berkuasa.

“Kita telah kemukakan rayuan di mahkamah dan keputusan rayuan itu akan diketahui pada 22 Mac nanti, kena tunggu keputusan itu dulu.

“Pihak berkuasa mesti kena bertindak mengikut undang-undang, mana boleh nak buat sesuka hati. Harta peniaga di dalam pasar ini bukan harga tiga ringgit,” katanya semasa ditemui di lokasi berkenaan hari ini.

Terdahulu, kekecohan tercetus apabila dua jentolak daripada Majlis Daerah Pasir Puteh menghampiri kawasan pasar berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi.

Dua kren untuk digunakan dalam operasi tersebut gagal memasuki kawasan pasar berkenaan apabila ratusan peniaga bertindak menghalangnya.

Difahamkan, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. – 12 Mac 2018.