Bukan Pemilik, Tiada Hak Halang Kata MDPP Kepada Peniaga Pasar Pasir Puteh

Majlis Daerah Pasir Puteh boleh meneruskan kerja-kerja merobohkan Pasar Besar Pasir Puteh pada bila-bila masa, kata Yang Dipertuanya Mohd. Anis Hussein.

Menurutnya, peniaga yang enggan berpindah tidak berhak menghalang kerja-kerja tersebut kerana mereka bukan berstatus pemilik atau penyewa yang sah.

“MDPP boleh meroboh pasar itu pada bila-bila masa tanpa menunggu keputusan rayuan di mahkamah kerana kes itu hanya mengenai tuntutan peniaga terhadap kerugian dialami mereka selepas diarahkan berpindah ke Pasar Siti Hajar (pasar baru).

“Keputusan mahkamah pada 1 Mac lalu, tidak ada perintah yang menghalang kami untuk meroboh pasar dan kami tidak perlu menunggu keputusan mahkamah pada 22 Mac untuk kerja meroboh,” katanya.

Semalam lebih 300 peniaga membantah tindakan MDPP mahu merobohkan premis berusia lebih 30 tahun itu.

Suasana kecoh apabila dua jentolak untuk digunakan bagi kerja-kerja meroboh pasar itu dihalang oleh peniaga yang berkumpul di perkarangan pasar berkenaan.

Difahamkan, operasi meroboh pasar itu akan diteruskan apabila keadaan kembali reda bagi memberi laluan kepada projek pembangunan lain. – 13 Mac 2018.