Kos Kendali PRU14 Dianggar RM400 Juta

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah memberitahu, kos pengurusan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dianggarkan mencecah RM400 juta.

Kos tersebut termasuk bagi menampung kos sewaan, perolehan peralatan, pembayaran elaun serta honorarium.

Mohd. Hashim berkata, pusat penamaan calon, pusat mengundi dan pusat mengira undi telah dikenal pasti dan sedia untuk digunakan apabila diperlukan.

Katanya, seramai 250,000 petugas dijangka diperlukan bagi membantu mengendalikan pilihan raya tersebut nanti.

“Semua persiapan logistik juga telah dipastikan dalam keadaan baik dan tersedia, termasuk pusat mengundi, pengangkutan, helikopter dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, bagi memastikan proses PRU14 berlangsung dengan telus dan adil, SPR menjangkakan 100,000 wakil atau ejen calon bertanding akan menjadi pemerhati tetap terhadap segala proses pilihan raya.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada pemerhati di barung semakan SPR, ejen tempat mengundi (ETM) yang bertugas sebagai pemerhati semasa proses pengundian berlangsung dan ejen mengira undi (EMU) yang bertugas semasa proses pengiraan undi.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk pemerhati di luar pusat mengundi.

“Pendek kata, segala proses pilihan raya yang berlaku di dalam dan luar tempat mengundi itu adalah dalam pengetahuan mereka (ejen calon dan pemerhati).

“Pada PRU14 ini SPR akan pastikan semua calon yang bertanding menghantar wakil atau ejen mereka untuk bertugas semasa proses pilihan raya itu dijalankan,” katanya. – 14 Mac 2018.