Manifesto Pakatan Harapan Tambahkan Hutang Negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan manifesto Pakatan Harapan untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta memansuhkan tol akan menyebabkan hutang negara bertambah tinggi.

Najib berkata, realiti tersebut yang perlu diterima oleh rakyat jika mereka percaya kepada janji Pakatan Harapan yang akhirnya bakal memberi kesan kepada generasi akan datang iaitu terpaksa menanggung bebanan hutang tersebut.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, tambahan hutang negara dijangka bertambah kepada RM416 billion jika pembangkang hendak menghapuskan tol dan GST itu.

“Pembangkang kata kita tambah hutang negara tetapi manisfesto mereka lagi dahsyat akan menyebabkan negara berhutang lebih tinggi.

“Sebab itu kita tidak boleh tipu rakyat, jangan tipu rakyat. Kita tidak tipu, kita beritahu atau laksana perkara yang kita mampu bukan sekadar berjanji sahaja. Apa yang lakukan adalah untuk kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya. – 14 Mac 2018.