PRU14: Mei Jangkaan Hampir Tepat

Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem mengumumkan penangguhan sambutan Hari Pekerja yang sinonim dengan tanggal 1 Mei pada tarikh lain.

Sambutan itu akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri, iaitu Jun depan.

“Saya ingin sebutkan iaitu tentang Hari Pekerja yang sepatutnya jatuh pada 1 Mei pada tiap-tiap tahun dan slogan tema Hari Pekerja tahun ini adalah Pekerja Berkemahiran Peneraju Kecemerlangan Negara.

“Tetapi saya percaya, ia tidak boleh diadakan pada 1 Mei ini sebab saya percaya waktu itu… tidak payah sebut, anda cari sendiri,” katanya.

Perkembangan itu secara tidak langsung menjadi petunjuk kemungkinan besar parlimen akan dibubarkan pada awal atau pertengahan April bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan.

Secara tradisi, tempoh biasa antara pembubaran parlimen dan hari pengundian mengambil masa selama 29 hari.

Jika benar, penangguhan sambutan Hari Pekerja itu ada kaitan dengan PRU14 maka kemungkinan besar hari pengundian akan berlaku sebelum Ramadan iaitu pertengahan Mei.

Sebelum ini Perdana Menteri membayangkan PRU14 akan diadakan sebelum umat Islam mengerjakan ibadat haji pada Julai ini. Beberapa hari kemudian Timbalan Perdana Menteri pula membayangkan PRU14 akan berlaku sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Parlimen penggal ke-13 akan berakhir pada 24 Jun. Ia akan terbubar dengan sendiri sekiranya tidak ada pembubaran dan pilihan raya mesti didadakan dalam tempoh 60 hari.

Pun demikian, ada yang meramalkan parlimen akan dibubarkan antara pertengahan Mei sehingga 24 Jun, dan pengundian akan berlaku selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, penganalisis politik kuat mengatakan parlimen akan dibubarkan bila-bila masa sebaik sahaja rang undang-undang persempadanan semula kawasan pilihan raya dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat.

Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, berkemungkinan semua urusan dapat diselesaikan pada akhir Mac ini sekali gus parlimen dibubarkan.

“Segala-galanya boleh buat sebelum bulan Ramadan dan bulan puasa boleh beri perhatian kepada amal ibadat,” katanya kepada Utusan Online.

Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain pula menjangkakan PRU14 akan berlangsung antara 1 hingga 4 Mei ini.

Katanya, seperti sedia maklum PRU-14 membabitkan persempadanan baharu kawasan pilihan raya dan jika diluluskan minggu depan mungkin Parlimen dibubarkan.

“Secara teori dan berdasarkan pengalaman sebelum ini, Barisan Nasional mungkin boleh menang. Bagaimanapun kali ini getir bagi semua pihak sama ada BN atau pun pihak pembangkang.

“Kedua-dua parti mengharapkan kemenangan,” katanya.

Sementara itu, Prof. Hoo Ke Ping meramalkan Parlimen dibubarkan selepas 6 April.

“Memang sebelum puasa semua urusan boleh diselesaikan, namun untuk parlimen dibubarkan perlu diberi sedikit masa.

“Persempadanan semula kawasan pilihan raya sangat penting bagi BN,” katanya.

Tambahnya, persempadanan semula kawasan pilihan raya pula akan membolehkan seseorang wakil rakyat berkhidmat dan menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan lebih efektif.