Rafizi Umum Tidak Bertanding PRU14

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memberitahu beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan ucapannya dalam Dewan Rakyat semalam adalah yang terakhir.

Beliau mengumumkan perkara itu semasa memulakan perbahasan usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

“Ini adalah ucapan saya yang terakhir dalam dewan ini Yang Dipertua, memandangkan saya tidak akan bertanding dalam PRU akan datang.

“Saya meminta maaf sekiranya kritikan pedas saya selama lima tahun yang lepas di dalam dewan mulia ini melukakan hati pihak sebelah sana (kerajaan),” kata Rafizi yang juga Naib Presiden PKR.

Pada 7 Februari lalu Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Rafizi dan seorang bekas kerani bank, Johari Mohamad selepas didapati bersalah membocorkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat pada Mac 2012.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan. – 15 Mac 2018.