‘Cukuplah Dengan Masalah Dalaman, Rampas Semula Bachok’

UMNO Bahagian Bachok diingatkan agar tidak bertelagah sesama sendiri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Peringatan itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa berucap pada Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Petani dan Nelayan di Pantai Irama Bachok, di Kelantan hari ini.

Pada masa sama, beliau turut meminta UMNO bahagian berkenaan menyelesaikan masalah dalaman serta mengambil iktibar daripada kekalahan tipis dalam pilihan raya umum lalu.

“Cuma disebabkan sedikit masalah dalaman kita kecundang dalam pilihan raya umum lalu dengan hanya 201 undi.

“Lebih banyak undi rosak daripada undi kita kalah, lebih 900 undi rosak,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Bachok Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Pada PRU13, Awang Adek tewas kali kedua kepada calon PAS, setelah memenanginya pada Pilihan Raya Umum 2004.

Ahmad Zahid berkata, BN mensasarkan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perupok, Jelawat dan Tawang dalam pilihan raya umum ini.

“Cukup-cukuplah orang Bachok dengan masalah dalaman. Banyak lagi masalah di luar, masalah dalaman mesti diselesaikan dan yang penting kita rampas semula Bachok serta ketiga-tiga kerusi dewan undangan negeri. – 16 Mac 2018.