Hanya Satu Bukan Calon Tempatan Di Kelantan

UMNO Kelantan diingatkan supaya memperkukuhkan barisan perjuangan dan tidak bergaduh sesama sendiri bagi memastikan misi Barisan Nasional (BN) menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tercapai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, PRU14 merupakan peluang terbaik untuk BN merampas Kelantan setelah diterajui PAS sejak 28 tahun lalu.

“Jange gocoh (jangan gaduh) sesama sendiri, jange ‘cah keting’ kalau kita nak menang. Rakyat Kelantan menunggu terlalu lama untuk kembali berada di bawah pimpinan BN.

“Set alik sana (pihak lawan) kini dalam keadaan ‘kucar bojeng’ (tidak menentu), jadi inilah masanya untuk kita mengucapkan selamat tinggal kerana ini masa untuk BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Terbuka, Kompleks Uthmaniyah, Pulau Lima di Pasir Puteh, Kelantan hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu UMNO Kelantan mempertaruhkan satu kerusi untuk calon dari luar dan ia hanya melibatkan kerusi Parlimen Pasir Puteh.

“Insya-Allah tidak ada calon luar kecuali di Pasir Puteh, kita cerita di Kelantan,” katanya.

Calon BN yang disebut-sebut bakal bertanding di Parlimen Pasir Puteh sebelum ini ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau adalah anak kepada salah seorang pemimpin UMNO Kelantan suatu ketika dulu, Datuk Dusuki Ahmad.

Asyraf Wajdi dilihat bukan sebagai orang tempatan oleh sesetengah penduduk Pasir Puteh walaupun pernah bertanding di kawasan Tumpat pada PRU ke-12.

Mengulas lanjut isu cah keting di Kelantan, beliau berkata, ia sudah tidak banyak wujud berbanding pilihan raya umum sebelum ini.

“Sebab saya lakukan engagement bukan saja dengan Tok Pa (Mustapa) kerana kebetulan ketua-ketua bahagian adalah rakan-rakan peribadi saya ketika mereka belum lagi jadi ketua bahagian dahulu.

“Apatah lagi setelah mereka jadi ketua bahagian, saya terus mempereratkan hubungan,” katanya.

Beliau juga yakin isu tersebut dapat diselesaikan dengan pemantauan yang dilakukan oleh Mustapa yang juga selaku Pengerusi BN Kelantan. – 16 Mac 2018.