Mahkamah Tolak Rayuan Ratu Naga

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak rayuan Ratu Naga untuk mengisytiharkan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia dan Multimedia 1998 sebagai tidak berperlembagaan.

Ketika membuat keputusan, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab. Karim Ab. Rahman berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan responden bahawa seksyen tersebut tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan sekatan-sekatannya.

Ab. Karim kemudian memerintahkan kes tersebut diteruskan di Mahkamah Sesyen Sepang.

Pada 19 Januari 2017, Mahkamah Sesyen Sepang mengetepikan permohonan Ratu Naga untuk merujuk persoalan perlembagaan terhadap dakwaan yang dikenakan terhadapnya di bawah Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ke Mahkamah Tinggi.

Pada 18 Februari 2016, Ratu Naga atau nama sebenarnya, Syarul Ema Rena mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghantar komen bersifat menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober 2015 menerusi laman sosial Facebook.

Dia didakwa menghantar komen jelik dan menghina perdana menteri berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bertujuan menyakitkan hati pihak lain.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama. – 16 Mac 2018.