TPM Umum Peruntukan Baiki Rumah Penduduk Miskin Bachok

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk membaiki rumah penduduk miskin di kawasan Bachok, Kelantan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk menaiktaraf masjid, bagi membina Pejabat Persatuan Nelayan (RM1 juta) dan untuk bantuan ibu tunggal (RM500,000) di kawasan tersebut.

Ahmad Zahid mengumumkan perkara itu semasa berucap dalam Majlis Bantuan Sara Hidup Petani dan Nelayan di Pantai Irama Bachok, di Kelantan hari ini.

Timbalan Perdana Menteri hadir untuk lawatan kerja sehari di Kelantan hari ini.

Beliau yang diiringi isteri tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) pada jam 8 pagi disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ahmad Zahid dijadual menghadiri tiga acara rasmi sempena lawatannya ke Kelantan kali ini, selain di Bachok beliau akan ke Pasir Puteh untuk Majlis Pemimpin Bersama Rakyat.

Selepas solat Jumaat, Timbalan Perdana Menteri akan ke acara terakhir iaitu Program Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 1.

Di Bachok Timbalan Perdana Menteri disambut oleh lebih 10,000 rakyat yang sedia menunggu kehadirannya sejak awal pagi.

Ahmad Zahid berkata, setiap janji yang dilafazkan oleh kerajaan bukan gula-gula pilihan raya namun, atas rasa tanggungjawab selain mengambil kira keperluan rakyat.

Dalam pada itu, beliau bersetuju cadangan untuk menukar nama stesen Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di Bachok daripada Jelawat kepada stesen Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

“Hari ini saya bersetuju untuk menamakan sebuah stesen Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di Bachok daripada Jelawat kepada stesen Universiti Malaysia Kelantan (UMK),” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Kelantan memberi peluang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi memudahkan segala perancangan pembangunan dilaksana dengan lancar.

Kata beliau, sekiranya kerajaan BN gagal menunaikan janji berkenaan, maka, rakyat berhak menukar semula kepemimpinan yang dipilih. – 16 Mac 2018.