Ikatan Tidak Bertanding Di Kelantan

Parti sekutu PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) tidak akan meletakkan calonnya di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Peranan besar Ikatan bersama PAS hanyalah bagi membantu kemenangan parti Islam itu di seluruh negara.

Sebagaimana kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, Ikatan akan membantu PAS di mana-mana kerusi yang ditandingi oleh parti berkenaan.

“Ikatan ini saya sebut secara jelas, daripada apa yang disampaikan oleh presidennya (Abdul Kadir Sheikh Fadzir), dia sendiri pun tak berminat nak bertanding, tapi dia akan bantu untuk PAS menang.

“Kalau dia bertanding pun, mungkin dalam satu atau dua kerusi sahaja (di luar Kelantan). Itu pun akan diputuskan di peringkat pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Bangkit Pertahan Kelantan di Padang Perdana di Kota Bharu, Kelantan malam tadi.

Mohd. Amar mengulangi kenyataan PAS sebelum ini di mana ia akan bertanding lebih 130 kerusi dalam PRU14 nanti.

“Sasaran kita ialah nak memerintah, sebab itu kita akan bertanding lebih daripada 130 kerusi. Kita ada sasaran maksimum dan sasaran minimum.

“Maksimum ialah menjadi kerajaan tapi minimumnya kita mesti menang sekurang-kurangnya 40 kerusi supaya kita boleh mencorakkan hala tuju dan juga masa depan politik negara,” katanya.

Menurutnya, pengagihan kerusi secara umumnya telah selesai namun perlu diperincikan. – 17 Mac 2018.