Kelantan Negeri Kedua Tertinggi Terima Peruntukan KKLW

Kelantan negeri kedua tertinggi selepas Pahang menerima peruntukan pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) iaitu sebanyak RM265 juta tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan pembangunan yang diterima itu meningkat sebanyak RM14 juta iaitu 5.62 peratus berbanding tahun lalu.

“Terdapat juga projek Bekalan Elektrik Luar Bandar untuk negeri Kelantan dengan anggaran kos sebanyak RM5.4 juta serta RM100 juta lagi untuk Lampu Jalan Kampung.

“Selain itu, turut diluluskan empat projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dengan anggaran kos RM42 juta dan 22 projek kecil BALB dengan anggaran RM11.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancaran Projek Pembinaan Telaga Tiub, Tangki Air Menara dan Pemasangan Paip Utama di Kampung Pasir Senor, Temangan, Machang hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ismail Sabri berkata, projek pembinaan telaga tiub, tangki air menara dan pemasangan paip utama itu melibatkan kos kira-kira RM5 juta dan dijangka siap Ogos tahun hadapan.

Katanya, segala peruntukan serta projek pembangunan yang dilaksanakan di negeri itu telah membuktikan tuduhan kerajaan pusat tidak mempedulikan Kelantan adalah tidak betul. – 17 Mac 2018.