Parti ‘Lembu Kenyang’

PAS menyifatkan Parti politik yang bersekongkol dengan DAP sebagai ‘lembu kenyang’ apabila tidak berani untuk mempertahankan Islam.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, DAP secara terang-terangan menolak Islam, justeru parti Islam itu mengambil pendekatan bersendirian bersama Ikatan berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Kita akan bertanding bersendirian dengan Ikatan. Semua parti yang tidak pedulikan Islam, kita akan lawan. Berapa penjuru pun kita akan lawan.

“Mereka sudah memerintah terlalu lama. PAS bersama mereka semasa perjuangankan kemerdekaan, bersama perjuangankan agama Islam sebagai agama persekutuan. Maka bila Islam agama persekutuan, maka sepatutnya Islamlah yang memerintah,” katanya.

Beliau berucap pada Himpunan Bangkit Pertahan Kelantan di Kota Bharu malam tadi.

Terdahulu, dalam satu perkembangan lain beliau melihat masalah ekonomi negara yang melanda hari ini berpunca daripada pemimpin yang berada dalam Pakatan Harapan (PH).

“Masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara, sama ada kerajaan atau rakyat adalah peninggalan daripada pemimpin-pemimpin yang duduk dalam Pakatan Harapan hari ini.

“Yang memerintah negara sejak tahun 80-an. Merekalah yang mewujudkan masalah,” kata Hadi dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam portal Harakahdaily.

Kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada Pengerusi PH Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri Malaysia dari 1981 hingga 2003.

Malah katanya, UMNO yang memikul masalah tersebut pada hari ini adalah kerana mereka terdahulu.

“Bahkan kepada saya UMNO yang memikul masalah ini masalah dibuat oleh mereka ini dulu.

“Dengan sebab itu PAS memperkenalkan konsep ta’awun, bertolong-menolong dalam perkara baik dan tak tolong-menolong dalam perkara kemungkaran,” katanya,” katanya. – 17 Mac 2018.