Kita Sekadar Nak Maklumkan Perkara Yang Betul Kata Sallehen

PAS Selangor tidak berniat untuk mengheret istana dalam isu peruntukan ketika menghantar surat kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah namun sekadar mahu memaklumkan perkara sebenar kepada baginda selaku payung keadilan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi, pada 12 Mac lalu telah menghantar surat kepada baginda berhubung isu peruntukan Ahli Dewan Undangan (ADUN) PAS yang didakwa dibeku selama dua bulan.

“Kita hantar surat sekadar untuk memaklumkan pada tuanku apa yang berlaku kerana tuanku ialah payung keadilan kepada rakyat.

“Pada siapa lagi kita nak mengadu dan cerita yang betul apa yang berlaku, kerana sebelum ini apa yang dikatakan sangat tak tepat,” kata Sallehen.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan 10 tahun PAS dalam pemerintahan kerajaan negeri Selangor di Shah Alam, malam tadi.

Tindakan Sallehen itu seolah-olah mengundang rasa tidak senang Menteri Besarnya Datuk Seri Azmin Ali yang langsung membidas tindakan tersebut sebagai satu penghinaan kepada institusi diraja itu.

Dalam pada itu, Sallehen berkata penganjuran Karnival Himpunan Rakyat di Stadium Melawati adalah lebih hina apabila menggunakan duit kerajaan untuk program parti.

“Program ini memerlukan kelulusan bajet dari kerajaan negeri. Program pendek, tapi mohon peruntukan besar termasuk minta semua exco luluskan bajet ini tapi tak libatkan exco kita (PAS),” katanya. – 18 Mac 2018.