Senarai Calon BN Selesai, Lalui Tapisan Ketat

Barisan Nasional (BN) telah selesai menyenaraikan calonnya bagi Pilihan Raya Umum Ke-14n (PRU14), kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Katanya, senarai calon kali ini dibuat melalui pelbagai kaedah tapisan yang ketat dan mendapat persetujuan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri masing-masing.

“Tidak pernah saya tengok pucuk pimpinan parti buat perancangan sebegini rapi. Pelbagai kaedah telah digunakan bagi menampilkan calon-calon yang benar-benar berwibawa.

“Macam-macam kaedah dilakukan bukan sahaja untuk memastikan calon-calon kita ini bukan sahaja ada jawatan dan kedudukan dalam parti tetapi lebih penting calon-calon ini diterima rakyat.

“Nanti Perdana Menteri akan umumkan (calon),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Pertahanan Bersama Warga Desa Pahlawan dan Perasmian Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Perdana Menteri sebelum ini membayangkan PRU14 akan diadakan sebelum umat Islam menunaikan ibadat haji pada Julai depan.

Tidak berapa lama kemudian Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula membayangkan PRU14 bakal diadakan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Penggal bagi Parlimen ke-13 hanya akan berakhir pada 24 Jun dan pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh dua bulan. – 18 Mac 2018.