Hapus GST Propaganda Politik Pembangkang

Tawaran pembangkang untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sekiranya menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hanya propaganda politik semata-mata.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Senator Datuk Hanafi Mamat berkata, pembangkang hanya ingin mengaburi mata rakyat apabila membuat tawaran tersebut dalam manifestonya.

“Saya nak tanya mereka (pembangkang), kerajaan mana di dunia yang boleh membangun dan menyediakan kemudahan kepada rakyat tanpa memungut cukai.

“Kalau boleh, saya minta mereka jelaskan. Difahamkan, Brunei tidak mengenakan cukai pendapatan sahaja, namun cukai-cukai lain tetap berjalan seperti biasa,” katanya diminta mengulas manifesto pembangkang mahu menghapuskan GST sekiranya menang PRU14.

Hanafi berkata, GST adalah sistem percukaian yang cukup efisen dalam merangsang perkembangan ekonomi negara dan lebih 160 buah negara di dunia menggunakan sistem tersebut dalam pungutan cukai mereka.

“GST di Malaysia ini yang terbaik apabila hanya enam peratus sahaja dikenakan oleh kerajaan, kalau tempat lain ada mencecah 100 peratus.

“Di Malaysia barangan keperluan harian iaitu makanan seperti susu, gula, ikan, daging dan sebagainya tidak dikenakan GST,” katanya. – 20 Mac 2018.